Just want to share this one story from a hadith that i read to my girls last night. From this story, it shows that no matter how much amal or ibadah that we perform, it'll be meaningless if we didn't do it out of sincerity towards Allah SWT.
Dituliskan dalam kitab 'Ihya-Ulumud-Din' bahawa dikalangan Bani Israel terdapat seorang abid yang senantiasa sibuk dengan beribadat. Satu rombongan manusia telah pergi kepadanya dan berkata, "Di sini ada satu kaum yang menyembah sebatang pokok." Setelah mendengar berita itu si abid mulai berasa marah maka dia pun mengambil sebilah kapak dan diletak di atas bahunya lalu pergi hendak menebang pokok itu.
Dalam perjalanannya itu dia berjumpa dengan syaitan yang berupa seorang tua lalu bertanya kepada si abid, "Engkau hendak ke mana?". Jawabnya, "Aku hendak pergi menebang suatu pokok." Kata syaitan, "Apa kena mengena kamu dengan pokok itu? Kamu sibuklah dengan ibadat kamu. Kamu telah tinggalkan ibadat kamu untuk suatu perkara yang sia-sia." Kata si abid, "Ini juga merupakan satu ibadat." Lantas syaitan berkata, "Aku tidak sekali-kali akan membiarkan kamu menebang pokok itu."
Pergelutan berlaku antara abid dengan syaitan. Si abid telah menjatuhkan syaitan lalu duduk di atas dadanya. Setelah syaitan menyedari kelemahannya lalu dia pun mula memujuk si abid itu dan berkata, "Dengarlah satu perkara." Si abid pun melepaskan syaitan itu. Kemudian syaitan berkata kepadanya, "Menebang pokok itu bukanlah Allah mewajibkan kepadamu. Pokok tersebut tidak merugikan kamu. Kamu tidak menyembahnya. Allah SWT mempunyai banyak nabiNya. Jika Allah SWT mahu, Dia boleh menebang pokok itu melalui salah seorang daripada nabi-nabiNya."
Abid berkata, "Aku pasti akan menebang pokok itu." Kemudian pergelutan berlaku sekali lagi antara keduanya. Abid berjaya menjatuhkannya lagi dan duduk di atas dadanya. Syaitan berkata, "Dengarlah, kini satu kata putus yang akan menguntungkanmu." Kata abid itu, "Beritahulah."
Kata syaitan, "Kau seorang yang miskin dan menjadi beban kepada masyarakat. Kau tinggalkan saja kerja ini, nescaya kuberikan kepada engkau tiga dinar (wang emas) pada setiap hari. Setiap hari kamu akan peroleh wang tersebut yang telah tersedia diletakkan di bawah bantal kamu. Melalui wang tersebut kamu dapat menyempurnakan keperluan kamu, juga dapat membantu kaum keluarga kamu. Malah kamu dapat membantu orang fakir miskin dan dapat menggunakannya untuk mengerjakan amalan yang mendatangkan pahala. Dengan menebang pokok itu kamu hanya akan memperoleh satu pahala sahaja. Itupun sia-sia kerana mereka akan menanam pokok yang lain pula (untuk disembah).
Si abid mulai faham dan telah menerima tawaran syaitan itu. Selama dua hari si abid peroleh wang tersebut. Pada hari yang ketiga dia tidak memperoleh apa-apa. Dengan perasaan marah, sekali lagi si abid mengambil kapak lalu pergi untuk menebang pokok itu.
Dalam perjalanannya itu dia berjumpa lagi dengan orang tua itu lalu orang tua itu bertanya, "Kamu hendak ke mana?" Kata abid, "Aku hendak pergi menebang pokok itu." Orang tua itu berkata, "Kini kau tidak berdaya menebang pokok itu."
Kedua-dua mereka bergelut lagi. Kali ini orang tua itu pula berjaya mengalahkan abid. Dia dapat menjatuhkan si abid dan duduk di atas dadanya. Si abid sangat hairan lalu bertanya, "Apakah sebabnya kamu berjaya mengalahkan aku pada kali ini?"
Orang tua itu menjawab, "Dahulu kau marah semata-mata kerana Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT telah membuatkan aku kalah. Sebaliknya pada kali ini niat kamu semata-mata kerana dinar (wang). Oleh itu kali ini engkau yang kalah."
Sesungguhnya perbuatan yang dikerjakan kerana Allah SWT mempunyai daya kekuatan yang hebat!
MasyaAllah!
No comments:
Post a Comment